Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menerima suntikan semangat
dan idea dari kedua-dua pucuk pimpinan parti pada dua hari terakhir Khemah Kerja Perdana sayap kanan parti itu di Institut Latihan Memperkasa UMNO (ILMU) Janda Baik, Pahang.

Pada petang Sabtu, Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah meluangkan masa lebih dua jam bersua muka dengan hampir 50 orang yang terdiri dari Ketua, Naib Ketua, Penolong Setiausaha, Ketua Penerangan, Exco dan Ketua-Ketua Pergerakan Pemuda Negeri.

Hari Ahad, Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin yang hadir untuk menutup khemah kerja itu membuat kejutan bila muncul sejam lebih awal dari waktu yang sepatutnya tiba pukul 2.30 petang.

Beliau bersama dengan pemuda selama lebih dua jam. Semua majlis berjalan secara tertutup dan media dilarang membuat liputan. Kedua-dua kehadiran pemimpin itu diiringi Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Rauf Yusoh.

Semasa sidang media selepas majlis penutup program tersebut, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberitahu idea melahirkan Rukun Pemuda yang bakal menjadi teras dan misi pergerakan itu adalah hasil cetusan idea serta pandangan Datuk Seri Mohd Najib selaku Presiden UMNO yang berada bersama mereka selama lebih dua jam, pada petang Sabtu.

Khemah Kerja Perdana Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia diadakan untuk pertama kali selepas pemilihan pucuk pimpinan Pemuda bagi Kursus Membentukkan Strategi dan Gerak Kerja untuk sesi 2008/2011 selama tiga hari tiga malam.

Khairy menjelaskan bahawa kursus tersebut telah melalui beberapa sesi khas dengan para pemimpin yang menghasilkan imput dan maklumbalas dari kepimpinan pusat dan negeri.

Menurutnya, dengan pendekatan ini, apa saja gerak kerja selepas ini datangnya dari semua pimpinan pemuda UMNO Malaysia dan bukan hanya dari Ketua atau Naib Ketua sahaja.

“Ini adalah teras secara ‘collective’ yang bakal mewakili semua pimpinan Pemuda UMNO Malaysia. Misinya adalah berusaha mengembalikan keyakinan serta sokongan pengundi-pengundi muda semula kepada Barisan Nasional (BN) tanpa mengira latarbelakang kaum dan agama,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO hari ini adalah kepimpinan untuk semua generasi muda tanpa mengira agama mahupun kaum.


“Ini pendekatan terbuka sebagaimana yang di bawa oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO iaitu ‘1 Malaysia’ dan kita juga membawa perubahan strategi Pemuda UMNO, bukan sahaja perjuang bangsa Melayu tetapi kepada semua rakyat Malaysia, Pemuda sebagai ‘Nadi Rakyat Malaysia’ dalam gerak kerja kita,” katanya.

Menurut Khairy, Pemuda UMNO Malaysia juga telah menggariskan Rukun Pemuda yang mempunyai lima teras perjuangan dan gerak kerja pemuda yang akan di bawa ke peringkat negeri, bahagian dan cawangan.

Pertama : Pemuda Berprinsip - berpegang teguh pada perjuangan asas UMNO, agama, bangsa dan tanahair dengan mempertahankan perlembagaan persekutuan, rukun Negara, kontrak sosial dan perkongsian kuasa.

Kedua : Pemuda ‘Inclusive’ – dengan memastikan penglibatan program kita kepada semua generasi muda yang tidak berparti, bukan ahli UMNO, pemuda yang tidak menyokong dan bukan hanya ahli-ahli Pemuda UMNO semata-mata.

Merapat dan memperkukuhkan pendekatan Pemuda BN supaya dapat digerakkan secara bersepadu.

Ketiga : Pemuda Pro-Aktif – Pemuda bertindak pantas dan berkesan mengikut kemampuan melalui agensi kerajaan dari peringkat bawah bertindak tanpa menunggu arahan bagi mengatasi masalah dan isu sebelum menjadi krisis yang besar.

Keempat : Pemuda Relevan – semua program pemuda akan di ‘re-engineer’ atau direkayasakan semula supaya lebih menepati citarasa orang muda, lebih ‘fashionable’ dan mengikut perkembangan terkini disamping saluran komunikasi kita yang mencerminkan media baru bagi menyampaikan maklumat dan dapatkan pandangan daripada generasi muda yang berada di bawah.

Kelima : Pemuda Bersatu – dalam apa jua keadaan perlu dipastikan bahawa perpaduan barisan pemuda mesti dirapatkan pada setiap waktu untuk pastikan bahawa setiap gerak kerja kita dapat dilaksanakan dengan baik. Sekiranya masih berpuak-puak dan terbawa dengan politik pecahbelah, kita tidak akan dapat beri tumpuan untuk memenangkan parti kita pada pilihan raya ke13 nanti.

Di sidang media itu juga Khairy mengumumkan 17 pengerusi biro, tujuh pengerusi sekretariat, 3 pengerusi unit dan seorang pengerusi Akademi Pemuda.

Khairy memberitahu setiap biro, sekretariat dan unit adalah penting kerana akan diberi garisan panduan dan syarat. Bagi memastikan tiada menindihan tanggungjawab Naib Ketua (Datuk Razali Ibrahim) bersama Akademi Pemuda akan memantau perjalanan badan yang tubuhkan itu dan akan diberi penarafan (KPI).

Ketika ditanya rasionalnya semua exco pemuda diberi jawatan dan tanggungjawab, Khairy berkata,“Saya tidak mahu timbul soal timbalan pengerusi biro merasakan dirinya tidak berperanan kerana diketepikan atau tidak diberi peranan memimpin. Setiap exco adalah pemimpin, biarlah orang kata ramai pun kerana saya ingin beri peranan kepimpinan kepada setiap exco yang ada dan mereka boleh lantik jawatankuasa dikalangan ketua-ketua, naib dan setiausaha pemuda bahagian.”

Katanya, “kita berpeluang untuk memperluaskan jawatan kepimpinan dalam Pergerakan Pemuda UMNO, kalau betul ingin jadi pergerakan yang ada pelapis maka kita kena perluaskan lagi jawatan-jawatan yang kita boleh berikan kepada akar umbi.”

Mengenai tawaran jawatan kepada pemimpin peringkat bawahan, Khairy menjelaskan bahawa setiap perlantikan di peringkat tinggi akan diutamakan pada ketua-ketua Pemuda UMNO Bahagian dan bekas-bekas calon exco pemuda yang kalah kerana kesediaan mereka untuk berkhidmat.

Khairy juga memberitahu bahawa Pemuda UMNO telah membawa satu pembaharuan dalam pemilihan anggota jawatankuasa badan yang diwujudkan dengan memberi syarat tidak semua mesti dari ahli jawatankuasa pemuda UMNO Bahagian.

“Saya minta sekurang-kurangnya dua orang dari kalangan profesional, dua orang dari pemimpin mahasiswa dan seorang dari remaja berumur 18 hingga 20 tahun, inilah maknanya meremajakan parti,” jelasnya.

“Kalau kita tidak libatkan mereka daripada muda, mereka tidak faham budaya kita dan kita tidak boleh belajar dari mereka, jangan ingat remaja berumur 18 hingga 20 tahun tidak ada idea, mereka ada idea yang lebih relevan kepada generasi mereka. Maknanya perlantikan ini diperluaskan skopnya,” tambah Khairy lagi.

Khairy juga memberitahu, sebagaimana dalam kerajaan mempunyai pemantauan dan penarafan (KPI), Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia juga memberi penekanan yang sama di mana perlaksanaan adalah keutamaan.

“Saya beri penjelasan bahawa atas kertas perancangannya cukup cantik dan indah tetapi sekiranya kita tidak dapat laksanakan apa yang cantik di atas kertas itu maka generasi muda akan berasa hampa dan jauh harapannya,” kata Khairy.

“Setiap exco diberi tugas adalah tanda keseriusan saya dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai pemimpin,” ujarnya.