Monday, July 13, 2009

KOPERASI BELIA TENOM BERHAD JADI PENGEDAR BARANGAN RUNCIT

TENOM: Koperasi Belia Tenom Berhad telah disenaraikan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebagai pengedar barangan bersubsidi untuk melaksanakan inisiatif kerajaan mengurangkan harga barangan runcit di bandar besar dan kawasan pedalaman.

Penolong Pengarah SKM Cawangan Sabah, Jeffree Chung @ Yapslee berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan melantik mana-mana koperasi yang berkemampuaa untuk menjadi pemborong barangan bersubsidi.

"Koperasi Belia Tenom telah kami senaraikan dan terserah kepada koperasi ini untuk menjalankan tanggungjawab itu," kata Jeffree dalam taklimatnya kepada Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Belia Tenom Berhad di Hotel Asiarasa di sini pada Jumaat.

Menurut Jeffree, dengan penamaan Koperasi Belia Tenom sebagai pemborong, diharapkan harga barangan runcit bersubsidi di kawasan Tenom dan Kemabong dapat dikurangkan.

Terdahulu Pengerusi Koperasi Belia Tenom, Jamawi Jaafar berkata pihaknya bersedia menjalankan tanggungjawab sebagai pemborong barangan bersubsidi sebagai salah satu usaha membantu masyarakat pengguna di kawasan ini.

"Perancangan yang dimainkan oleh koperasi bukan sekadar pengisian fungsian sebaliknya untuk memberikan perkhidmatan kawalan harga terhadap barangan runcit dan gas LPG," kata Jamawi.

Jamawi yang juga Exco Pemuda Umno Pusat seterusnya membayangkan akan bekerjasama dengan pemborong-pemborong sedia ada untuk memastikan barangan bersubsidi mencukupi dan memenuhi keperluan para pengguna di sini. (UTUSAN BORNEO)

No comments:

Post a Comment