TUARAN 30 Nov. - Kadar bantuan bagi membina rumah rakyat termiskin di seluruh negara dinaikkan sehingga RM33,000 seunit di Semenanjung dan RM40,000 seunit di Sabah dan Sarawak.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, keputusan yang dibuat dalam mesyuarat jemaah menteri pada 1 Oktober lalu itu, turut meluluskan kadar baru bantuan baik pulih rumah sehingga RM11,000 di Semenanjung dan sehingga RM12,000 di Sabah dan Sarawak.
"Kadar baru itu akan memberi peluang kepada keluarga miskin tegar yang belum memiliki rumah, ibu atau bapa tunggal yang ramai tanggungan serta mangsa bencana dari kalangan keluarga miskin tegar mendapat rumah baru yang lebih baik termasuk menggantikan rumah kayu usang dengan rumah batu dan rumah separuh batu," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Kampung Mengkabung di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Hajiji Noor; Setiausaha Bahagian Pembasmian Kemiskinan, Abdullah Embong; Pengarah Kemas Sabah, Kadri Ahmad dan Ketua Pemuda Tenom, Jamawi Jaafar.
No comments:
Post a Comment