Saturday, February 27, 2010

PEMUDA SEDIA LAPORAN BELIA MEREMPAT DI KL


KOTA KINABALU: Pemuda Umno Sabah akan menyediakan laporan lengkap berkaitan dakwaan belia dari Sabah terkandas di Kuala Lumpur dan mengemukakan kepada kerajaan secepat mungkin agar golongan berkenaan dapat dibantu.

Exco Pemuda Umno, Jamawi Jaafar berkata pihaknya juga akan menubuhkan satu badan yang akan mengendalikan pangkalan data belia Sabah yang bekerja di Semenanjung bagi memudahkan pemantauan dan penyediaan khdimat bantuan.

“Tinjauan yang kami lakukan mendapati belia berkenaan bukanlah terkandas seperti yang dilaporkan tetapi tidak mampu membayar sewa tempat tinggal kerana tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi,” kata Jamawi.

Jamawi berkata demikian sebagai memberitahu hasil tinjauan yang dilakukan bersama Ketua Pemuda Umno Sabah, Azman Haji Ruslan ke atas golongan belia di ibunegara beberapa hari lalu.

Jamawi menegaskan, belia berkenaan tidur di rumah ibadat atau perhentian bas pada waktu malam manakala ketika siang mereka menjalankan kerja-kerja sambilan dan apabila berehat mereka menumpang makan di rumah kebajikan seperti Archdiocesan Office for Human Development (AOHD).

Sehubungan itu, Azman memberitahu pihaknya telah menawarkan bantuan tiket penerbangan balik ke Sabah bagi mereka yang mahu berbuat demikian.

Manakala yang lain, Pemuda Umno Sabah akan membantu mendapatkan pekerjaan yang terjamin dan meningkatkan kualiti hidup mereka di tempat kerja dengan mempastikan majikan memberikan kemudahan tempat tinggal.

Sumber : Keruak.Com